Amalan-amalan ini
menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa
kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep
rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T. memberi jalan buat setiap
hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi
punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah S.W.T. tidak
sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam,
sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup
kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan
kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.]
2. Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah
rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah S.W.T., yang menjadi
sebab Allah S.W.T. jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan
melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi S.A.W.:
“Barang siapa
memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan segala kedukaannya,
menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak
disangka.” – [Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari
Abdullah bin Abbas r.a]
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku
di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah
malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.:
“… dan seorang lelaki
akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” – [Riwayat
at-Tirmizi]
4. Sentiasa ingat Allah S.W.T.
Banyak ingat Allah
S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya
Allah S.W.T.beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang
beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah S.W.T..
Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram.” [Ar-Ra'd:
28]
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat
Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan
ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali
kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada
ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan
umurnya.” – [Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]
Mendoakan ibu bapa
juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:
“Apabila hamba itu
meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah
S.W.T.) daripadanya.” – [Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada
orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang
sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Sabda Nabi S.A.W.:
“Tidaklah kamu diberi
pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan
kamu.” – [Riwayat Bukhari]
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang
menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat
sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:
“Siapa yang menunaikan
hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya” – [Riwayat Muslim]
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan
berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat
menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan
menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Banyakkan berbuat kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan
disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan
rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain
mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah
S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh
berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalinkan silaturrahim
Nabi S.A.W. bersabda:
“Barang siapa ingin
dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi
sanak-saudaranya.” – [Riwayat Bukhari]
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa
menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara
termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:
“Sentiasalah berada
dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki.”
– [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid]
13. Bersedekah
Sedekah mengundang
rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah S.W.T. buka pintu rezeki. Nabi
S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair,
ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh
Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan
pemberian kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya. Dan
siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan baginya.” –
[Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]
14. Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada keterangan bahawa
amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu
dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha
yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian),
juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam,
jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan
siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
– [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]
16. Bersyukur kepada Allah S.W.T.
Syukur ertinya
mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur
nikmat. Allah S.W.T.berfirman:
“Demi sesungguhnya!
Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi
sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” – [Ibrahim: 7]
Firman-Nya lagi:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” – [Ali Imran: 145]
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran
tertentu
Zikir dari ayat-ayat
al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan
hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu
hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat
terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali
setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T.
melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.
Selain itu, salah satu
nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi
sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca “Ya Allah
ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami
untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”
Ada juga hadis
menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan
ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan
seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan mengharap pada
rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita
meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa yang berusaha,
dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya
dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri kepada orang
yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]
Bagi orang beriman,
tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki
dalam skop yang luas.
Misalnya, jika hendak
tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik dididiknya sejak
anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan
makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia sendiri
berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan
sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal,
seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti
firman-Nya:
“Barang siapa
bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan
(keperluannya).” – [At-Talaq: 3]
Nabi S.A.W. bersabda:
“Seandainya kamu
bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi
rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah
kenyang.” – [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari
Umar bin al-Khattab r.a.]
Kesemua yang disebut
di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa, Allah
S.W.T. akan memberi “… jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan
memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” – [At-Talaq:
2-3]
Pendek kata, bagi
orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenar, kuncinya adalah
dengan melaksanakan amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T., lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.
credit to iluvislam.com